Wednesday, June 22, 2022

STAR Karambunai perkenal logo GRS, parti-parti gabungan kepada akar umbi

Linggu menerima laporan persiapan pilihan raya STAR Karambunai.

TUARAN: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Bahagian Karambunai mula memperkenalkan logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kepada akar umbi parti itu sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum Parlimen tidak lama lagi.

Ketua Bahagian yang juga Naib Presiden STAR Kapitan Stephen Teo berkata pengenalan logo diiringi dengan pemakluman tentang parti-parti gabungan yang menjadi rakan sekutu GRS bertanding dalam pilihan raya umum itu nanti.

“Kita juga melantik ketua-ketua beberapa biro dalam kalangan pemimpin bahagian untuk menggerakkan usaha menemui ahli-ahli parti dan para penyokong bagi menyumbang kekuatan kepada GRS menghadapi pilihan raya umum,” katanya.

Stephen yang juga Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Bahagian STAR Karambunai di Shabandar Cowboy Town pada Rabu.

Mesyuarat tersebut disusuli taklimat persiapan pilihan raya kepada Setiausaha Agung STAR Edward Linggu Bukut yang telah disampaikan Setiausaha Bahagian Charles Arab.

Selepas taklimat, Linggu menyatakan harapan agar persiapan pilihan raya STAR Karambunai dapat diperkemaskan lagi setelah pelancaran Jentera Pilihan Raya STAR Peringkat Negeri minggu hadapan.

Stephen (kanan) mempengerusikan mesyuarat STAR Karambunai.





Tuesday, June 21, 2022

Pendataan digital tidak akan mengubah status warga asing

DENNIS

KENINGAU: Pendataan digital warga asing di Sabah sama sekali tidak bertujuan memberikan dokumen kepada Pendatang Tanpa Izin (PTI) apa lagi memberikan kewarganegaraan kepada semua kategori warga asing. 

Ketua Penerangan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Bahagian Bingkor, Dennis Joakim berkata, di bawah program pendataan, adalah jelas kategori PTI akan diusir balik ke negara asal. 

“Kategori PTI sama sekali tidak mempunyai dokumen dan mereka tidak akan didaftarkan dalam program pendataan digital,” kata Dennis. 

Menurut Dennis, penjelasan dari sesi pertama Townhall jelas menyatakan pendataan digital hanya melibatkan tiga kategori warga asing yang terdaftar sebagai pemegang IMM13, kad burung-burung dan kad banci. 

Dennis menegaskan, pendataan digital kepada tiga kategori warga asing itu tidak akan mengubah status mereka dari rakyat asing kepada warga negara. 

“Mereka akan tetap sebagai warga asing setelah pendataan,” kata Dennis mempertahankan apa yang telah disampaikan Timbalan Presiden STAR Datuk Robert Tawik yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya. 

Dennis berkata demikian sebagai mengulas kekeliruan ahli Parti Warisan Sabah di sini, James Henry. 

Dalam kenyataan di media atas talian, James menyelar Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor dengan menyifatkan wakil rakyat itu tidak faham objektif pendataan digital. 

James berpendapat pendataan digital akan memberikan dokumen kepada semua warga asing termasuk kategori PTI yang pada akhirnya memungkinkan mereka menetap di Sabah.