Friday, April 16, 2021

Pelantikan Guandee bukti keyakinan Putrajaya kepada STAR



Stephen dan Guandee

TELIPOK: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Karambunai menyifatkan pelantikan Setiausaha Agung parti itu Senator Datuk Guandee Kohoi sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan sebagai bukti keyakinan penuh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap peranan parti di Sabah dan Persekutuan.

Ketua Bahagian STAR Karambunai Kapitan Stephen Teo berkata jawatan itu yang disandang Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan sebelum Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sabah kekal dikosongkan sehinggi diisi apabila Guandee mengangkat sumpah  jawatan pada Jumaat.


Guandee mengangkat sumpah jawatan

“Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan merupakan antara kementerian penting untuk menjana semula pendapatan rakyat dan negara, justeru kita menaruh harapan STAR akan dapat membantu pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Stephen yang juga Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) berkata demikian sebagai menyambut gembira pelantikan Guandee ke jawatan berkenaan.

Guandee pada 16 April menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Timbalan Menteri Persekutuan yang baru di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Seperti yang telah dinyatakan Timbalan Presiden STAR Jalumin Bayogoh, jelas Stephen, pelantikan itu adalah tepat pada masanya dan sangat dialu-alukan oleh rakyat Sabah.

“Pelantikan itu dapat menjadi kesinambungan kepada rancangan-rancangan kementerian yang dibuat oleh Dr Jeffrey sebelum ini,” katanya.

Stephen turut melihat pelantikan itu sebagai satu penghargaan dan kepercayaan besar kerajaan pusat kepada STAR Sabah untuk terus berkhidmat kepada rakyat.


Guandee (kanan) dan Edward Linggu (tengah)
bersama pemimpin STAR Karambunai,
dari kiri Ponsius Solipat, Charles Arab,
Stephen Teo




 


No comments:

Post a Comment