Sunday, January 29, 2023

Ketua Menteri diminta lantik wakil STAR isi PPM Tungku

 

NAWAWI

LAHAD DATU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah meminta Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor melantik wakil parti itu untuk mengisi kekosongan jawatan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) kawasan DUN N.60 Tungku.

Naib Presiden STAR Sabah Apas Nawawi Saking berkata jawatan PPM Tungku akan ditukar manakala PPM di tiga lagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti N.61 Segama, N.63 Kunak dan N.62 Silam kekal dipegang wakil Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS).

“Sebagai parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), STAR yang memiliki keaktifan dan keahlian ramai di Tungku merupakan pendukung utama GRS dalam Kerajaan Negeri, justeru STAR wajar dilantik PPM di Tungku,” katanya.

Nawawi yang juga Timbalan Pengerusi GRS Lahad Datu memaklumkan, STAR bahagian Tungku diketuai Suling Isib yang juga Ahli Majlis Tertinggi STAR dan Ketua GRS Zon Tungku telah menunjukkan komitmen menyantuni masyarakat di kawasan itu.

“STAR Tungku mempunyai 3,500 ahli berdaftar serta 1,600 lagi dalam proses pendaftaran,” kata Nawawi yang juga Ketua Bahagian STAR Silam.

Menurut Nawawi, STAR Lahad Datu juga telah menunjukkan komitmen sebagai anggota GRS dan sekiranya peranan PPM Tungku diberi kepada STAR maka ianya dapat mengekalkan kekuatan GRS di semua DUN tersebut pada pilihan raya akan datang termasuk P.188 Lahad Datu.

Nawawi yakin Ketua Menteri dapat menerapkan konsep perwakilan seimbang di kalangan parti-parti anggota GRS dalam kepimpinan kerajaan di peringkat negeri sehingga ke kawasan-kawasan DUN setiap parlimen di Sabah.


Suling (kanan) meninjau kemudahan
penduduk di sebuah kampung di Tungku.



No comments:

Post a Comment