Thursday, June 11, 2020

Pembetung Binaong dibaiki sebaik PPM Bingkor terima aduan

SYUKUR: Peter (tengah) bersama Anggi (kiri)
ketika melakukan tinjauan.

Oleh PAUL UKAU
KENINGAU: Aduan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kg Binaong Bingkor berhubung kerosakan pembetung (culvert) akibat banjir kilat minggu lalu diatasi melalui tindakan serta-merta pihak berkaitan.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bingkor Peter Daigo berkata pihaknya menerima aduan dari Pengerusi MPKK Binaong Anggi Kathil lalu meminta pihak berkaitan memulakan kerja.

“Kami telah menjalankan tinjauan ke atas aduan itu dan mendapati ada keperluan mendesak untuk memperbaiki parit serta pembetung jalan yang dilaporkan,” katanya.

Peter melahirkan rasa syukur kerana kerosakan berkenaan dibaiki serta-merta dan siap sepenuhnya pada 6 Jun.

Bagi pihak penduduk, Anggi menyampaikan ucapan terima kasih di atas usaha Peter bertindak segera dalam menyelesaikan masalah yang diadukan kepadanya.

Penduduk turut menzahirkan ucapan syukur dan terima kasih di atas keprihatinan kerajaan mengatasi kerosakan berkenaan bagi melancarkan pergerakan dalam kampung.

SEGERA: Kerja-kerja pembaikan culvert Kg Binaong.
DIBAIKI: Culvert selepas pembaikan.



STAR Bingkor baiki rumah warga emas diterbang angin


AMAL: George ketuai gotong-royong baiki rumah warga emas.

Oleh PAUL UKAU
KENINGAU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bingkor mengadakan kerja amal bergotong-royong membaiki rumah warga emas, Maidin Lantai, 72, yang rosak diterbang angin kencang baru-baru ini.

Timbalan Ketua Jawatankuasa Pusat Daerah Mengundi STAR Bingkor George Dairie mengetuai kerja-kerja gotong-royong itu yang dibiayai sepenuhnya oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

“Kerja-kerja gotong-royong itu melibatkan penggantian zink dan pembaikan bahagian bumbung,” katanya.

Maidin melahirkan rasa syukur di atas bantuan Dr Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau serta sumbangan tenaga George dan rakan-rakan di kalangan ahli-ahli parti berkenaan.

Kawasan Bingkor diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Robert Tawik yang juga Naib Presiden STAR namun peruntukan ADUN bagi kawasan berkenaan dikendalikan oleh seorang anggota kabinet negeri.



Wednesday, June 3, 2020

STAR semakin gah baharui lanskap politik Pedalaman PRU15

Dr Jeffrey rasmi Pejabat Khidmat Rakyat Keningau 

Oleh PBU
PELANCARAN pembukaan Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Keningau minggu ini menandakan suatu permulaan baharu terhadap pembentukan lanskap politik zon Pedalaman pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

PRU15 bakal mengambil tempat pada tahun 2023 iaitu kurang tiga tahun dari sekarang.

Penampilan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan merasmikan pejabat itu menunjukkan kemudahan dari Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Putrajaya sedang mengalir ke Keningau.

Dr Jeffrey hantar bantuan rumah ke rumah

Kehadiran Dr Jeffrey jadi pemangkin kepada gerak kerja wakil-wakil rakyat serta para pemimpin STAR ke tengah-tengah masyarakat yang kini mula dirasai meskipun tidak memperoleh sebarang peruntukan dari Kerajaan Negeri Sabah.

Peruntukan di kawasan-kawasan yang diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) STAR dikendalikan seorang menteri kabinet negeri dan tidak disalurkan melalui ahli-ahli Yang Berhormat berkenaan.

Dr Jeffrey selaku ADUN Tambunan, YB Robert Tawik (ADUN Bingkor) dan YB Datuk Ellron Alfred Angin (ADUN Sook) tidak memperoleh peruntukan dari Kerajaan Negeri Sabah.

Namun pelantikan Dr Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dalam Kerajaan PN memberi sinar baharu kepada rakyat pedalaman.

YB Robert tinjau pengairan sawah di kawasan Bingkor

Sinar baharu itu menerangi tiga kawasan Parlimen dan tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di zon Pedalaman.

Pada PRU15, kerusi DUN Tulid bakal ditawarkan buat pertama kali kepada kalangan pengundi untuk memilih YB ADUN.

Analisis politik dalam zon pedalaman menunjukkan, jika sekiranya PRU diadakan pada bila-bila masa, Parti STAR tidak menghadapi masalah memenangi semula kawasan-kawasan yang sedang mereka wakili.

Dr Jeffrey boleh menang semula Kerusi Parlimen Keningau dan Kerusi DUN Tambunan.

Demikian juga dengan YB Robert, rakyat majoriti bakal memberi kemenangan semula kepadanya di Kerusi DUN Bingkor. 

Pemimpin berpengalaman, YB Datuk Ellron juga boleh menang semula di Kerusi DUN Sook. Malahan jika Datuk Ellron berpindah ke kawasan baharu DUN Tulid sekalipun, sokongan rakyat majoriti tetap berpihak kepadanya.

Datuk Ellron Angin

Ini kerana kawasan berkenaan sebelum ini termasuk dalam kawasan DUN Sook yang diwakilinya beberapa penggal.

Ini belum termasuk perkiraan di kawasan DUN Liawan yang sedang diwakili Rasinin Kautis dari Parti Warisan Sabah. Majoriti yang tipis diperoleh Rasinin pada PRU14 meletakkan kawasan berkenaan di hujung tanduk.

Kelibat Ketua Bahagian STAR Liawan, Datuk Annuar Datuk Ayub Aman sedang mengambil tempat di hati rakyat dalam kawasan itu.

Datuk Annuar Datuk Ayub Aman

Arus politik yang sama sedang bertiup di Tenom. Kecenderungan sokongan pengundi kawasan DUN Melalap tidak menjanjikan kemenangan semula Warisan yang kini diwakili Datuk Peter Anthony.

Ini kerana pada PRU14, Peter sekadar menang kawasan itu dengan majoriti tipis kira-kira 200 undi.

Kalangan pengundi kawasan DUN Melalap sedang membuat perhitungan untuk menebus kembali maruah etnik pada PRU15.

Jika STAR memutuskan meletak calon-calon di semua kawasan dalam zon Pedalaman, maka parti itu dilihat mampu menjadi pesaing utama untuk memenangi kawasan Parlimen Pensiangan, Parlimen Tenom, DUN Nabawan, DUN Melalap dan DUN Kemabong.

Tuesday, June 2, 2020

KK, MPKK hargai PPM Bingkor bina gabion sungai Tuarid Taud

KK AMIN BANTANGON

Oleh PAUL UKAU
KENINGAU: Penduduk kampung Tuarid Taud di sini menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bingkor Peter Daigo atas tindakan cepatnya menangani masalah hakisan tebing sungai kampung itu akibat banjir.

Ketua Kampung Kg Tuarid Taud KK Amin Bantangon dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kg Tuarid Taud Rahimin Rasimin berkata pihak mereka telah membuat aduan kepada PPM berkenaan masalah itu.

PETER DAIGO
“Bertindak atas aduan, Peter mengambil langkah serta-merta datang melihat sendiri masalah hakisan tebing sungai akibat banjir kilat pada 22 Mei lalu,” kata Rahimin.

BERSAMA: Penduduk bergotong-royong membina gabion.

Menurut Rahimin, Pejabat PPM juga turut menghubungi Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melaksanakan tindakan bersama.

Rahimin menambah kerja-kerja membina gabion kini hampir siap dilakukan secara gotong royong oleh penduduk setempat menggunakan peralatan yang disalurkan oleh JPS Daerah.

“Saya bagi pihak penduduk kampung amat berterima kasih di atas tindakan segera dan keprihatinan pihak PPM dan JPS,” kata Rahimin.

RAHIMIN

Jelas Rahimin, tindakan segera PPM Bingkor telah memastikan hakisan tebing sungai tidak membawa kesan runtuhan berterusan sehingga membawa risiko ke atas rumah-rumah penduduk.

Kata Rahimin, terdapat banyak rumah di tebing sungai berkenaan dan sekiranya tindakan tidak diambil segera, pasti mengakibatkan runtuhan yang serius.

Rahimin menyifatkan Peter sebagai ‘Pemimpin Berjiwa Rakyat’ yang bertindak serta-merta menangani permasalahan di kawasan jagaannya.

JPS: Membina gabion menggunakan peralatan dari JPS Daerah.