Wednesday, June 3, 2020

STAR semakin gah baharui lanskap politik Pedalaman PRU15

Dr Jeffrey rasmi Pejabat Khidmat Rakyat Keningau 

Oleh PBU
PELANCARAN pembukaan Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Keningau minggu ini menandakan suatu permulaan baharu terhadap pembentukan lanskap politik zon Pedalaman pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

PRU15 bakal mengambil tempat pada tahun 2023 iaitu kurang tiga tahun dari sekarang.

Penampilan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan merasmikan pejabat itu menunjukkan kemudahan dari Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Putrajaya sedang mengalir ke Keningau.

Dr Jeffrey hantar bantuan rumah ke rumah

Kehadiran Dr Jeffrey jadi pemangkin kepada gerak kerja wakil-wakil rakyat serta para pemimpin STAR ke tengah-tengah masyarakat yang kini mula dirasai meskipun tidak memperoleh sebarang peruntukan dari Kerajaan Negeri Sabah.

Peruntukan di kawasan-kawasan yang diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) STAR dikendalikan seorang menteri kabinet negeri dan tidak disalurkan melalui ahli-ahli Yang Berhormat berkenaan.

Dr Jeffrey selaku ADUN Tambunan, YB Robert Tawik (ADUN Bingkor) dan YB Datuk Ellron Alfred Angin (ADUN Sook) tidak memperoleh peruntukan dari Kerajaan Negeri Sabah.

Namun pelantikan Dr Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dalam Kerajaan PN memberi sinar baharu kepada rakyat pedalaman.

YB Robert tinjau pengairan sawah di kawasan Bingkor

Sinar baharu itu menerangi tiga kawasan Parlimen dan tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di zon Pedalaman.

Pada PRU15, kerusi DUN Tulid bakal ditawarkan buat pertama kali kepada kalangan pengundi untuk memilih YB ADUN.

Analisis politik dalam zon pedalaman menunjukkan, jika sekiranya PRU diadakan pada bila-bila masa, Parti STAR tidak menghadapi masalah memenangi semula kawasan-kawasan yang sedang mereka wakili.

Dr Jeffrey boleh menang semula Kerusi Parlimen Keningau dan Kerusi DUN Tambunan.

Demikian juga dengan YB Robert, rakyat majoriti bakal memberi kemenangan semula kepadanya di Kerusi DUN Bingkor. 

Pemimpin berpengalaman, YB Datuk Ellron juga boleh menang semula di Kerusi DUN Sook. Malahan jika Datuk Ellron berpindah ke kawasan baharu DUN Tulid sekalipun, sokongan rakyat majoriti tetap berpihak kepadanya.

Datuk Ellron Angin

Ini kerana kawasan berkenaan sebelum ini termasuk dalam kawasan DUN Sook yang diwakilinya beberapa penggal.

Ini belum termasuk perkiraan di kawasan DUN Liawan yang sedang diwakili Rasinin Kautis dari Parti Warisan Sabah. Majoriti yang tipis diperoleh Rasinin pada PRU14 meletakkan kawasan berkenaan di hujung tanduk.

Kelibat Ketua Bahagian STAR Liawan, Datuk Annuar Datuk Ayub Aman sedang mengambil tempat di hati rakyat dalam kawasan itu.

Datuk Annuar Datuk Ayub Aman

Arus politik yang sama sedang bertiup di Tenom. Kecenderungan sokongan pengundi kawasan DUN Melalap tidak menjanjikan kemenangan semula Warisan yang kini diwakili Datuk Peter Anthony.

Ini kerana pada PRU14, Peter sekadar menang kawasan itu dengan majoriti tipis kira-kira 200 undi.

Kalangan pengundi kawasan DUN Melalap sedang membuat perhitungan untuk menebus kembali maruah etnik pada PRU15.

Jika STAR memutuskan meletak calon-calon di semua kawasan dalam zon Pedalaman, maka parti itu dilihat mampu menjadi pesaing utama untuk memenangi kawasan Parlimen Pensiangan, Parlimen Tenom, DUN Nabawan, DUN Melalap dan DUN Kemabong.

No comments:

Post a Comment