Friday, August 26, 2022

Wirawati STAR gesa warta Hari Sabah bermula 31 Ogos 2023

Ellshera sertai sambutan Hari Sabah 2022

KOTA KINABALU: Generasi Muda Sabah berharap Sabah dapat mewartakan 31 Ogos sebagai Hari Kemerdekaan Sabah seperti yang sudah dilakukan Sarawak dengan mewartakan 22 Julai sebagai Hari Kemerdekaan wilayah itu.

Ketua Wirawati Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Ellshera Alfred Yapat berkata parti itu berharap Sabah dapat merealisasikan pewartaan 31 Ogos sebagai Hari Kemerdekaan Sabah bermula 2023.

“Kesedaran sudah bermula sejak 31 Ogos 2014 apabila STAR mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan Sabah yang bersamaan dengan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu,” katanya.

Justeru, kata Ellshera, sekali lagi Sambutan Hari Sabah diadakan tahun ini bagi memperingati tarikh kemerdekaan Sabah pada 31 Ogos 1963 di mana sambutan telah bermula awal bulan ini dengan kemuncak sambutan di Keningau pada 31 Ogos 2022.

Jelajah Merdeka Sabah singgah di Lahad Datu

Menurut Ellshera, sambutan Hari Sabah yang dikelola Wira STAR telah menjelajah secara konvoi di seluruh pelosok Sabah di mana kehadiran konvoi ke setiap daerah di Sabah disambut para pemimpin STAR di kawasan masing-masing.

“Kita berharap para pemimpin Sabah dapat bersatu hati dalam mempastikan hasrat mewartakan 31 Ogos sebagai Hari Kemerdekaan Sabah dapat direalisasi bermula 2023,” katanya.

Ellshera yakin, langkah Kerajaan Sabah mewartakan tarikh 31 Ogos sebagai Hari Kemerdekaan dan disambut secara rasmi setiap tahun memperoleh sokongan kalangan generasi muda.

Ellshera menegaskan, sambutan Hari Sabah turut didukung secara ilmiah di mana Hari Kemerdekaan Sabah sudah wujud sebelum Pembentukan Malaysia pada 16 Sept 1963.

Jelajah Merdeka Sabah disertai generasi muda pelbagai etnik

“Manakala Hari Malaysia pada 16 Sept disambut sebagai Hari Kebangsaan sempena pembentukan Malaysia oleh satu rumpun bangsa yang berada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Ellshera menyatakan demikian sebagai memetik pernyataan Pensyarah Kanan Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL) Universiti Malaysia Terangganu (UMT) Dr Hamad Aziz.

Ellshera meminta Kerajaan agar tidak membiarkan generasi muda Sabah alfa dengan sejarah sebenar Sabah dan pembentukan Malaysia.

Naib Presiden STAR Kapitan Stephen Teo dan Pen Setiausaha Agung STAR
Ardino Diris menyambut ketibaan konvoi Merdeka Sabah di Pekan Inanam

Ellshera mengulangi penegasan Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan bahawa Sabah dan Sarawak bukanlah Negeri ke-12 dan ke-13 di dalam Malaysia, melainkan Wilayah yang telah bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia.

Ellshera juga menggesa kerajaan pusat agar serius memperbetulkan realiti Sabah dan Persekutuan Malaysia untuk memperbetulkan pemahaman rakyat khususnya generasi muda agar tidak bercanggah dengan fakta sebenar sejarah negara ini.


Para pemimpin STAR Parlimen Sepanggar dan Parlimen Tuaran
menyambut konvoi Jelajah Merdeka Sabah di Pekan Inanam


No comments:

Post a Comment