Monday, July 11, 2022

Bung sudah lupa janji Umno laksana MA63 seratus peratus


Ir Awang Saleh (kedua kanan) bersama penduduk Kg Gandukut.

KOTA BELUD: Ketua Perhubungan Umno Sabah Datuk Bung Moktar Radin perlu jujur memperkatakan hak Sabah Sarawak dalam MA63 kerana parti itu telah berjanji melaksanakan 100 peratus perjanjian berkenaan ketika Pilihan Raya Kecil Kimanis.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Ir Awang Saleh Makmud berkata, Bung perlu menerima hakikat bahawa rakyat Sabah telah memberikan sokongan ke atas tuntutan hak MA63 termasuk memberi kemenangan kepada calon Umno di PRK Kimanis.

“Sekarang masanya bagi Umno sebagai peneraju Kerajaan Persekutuan untuk menunaikan hak Sabah dan Sarawak seperti yang terkandung dalam MA63,” kata Ir Awang Saleh yang juga Ketua Bahagian STAR Pintasan.

Menurut Ir Awang Saleh, Bung tidak perlu berdolak-dalih tentang hak Sabah dan Sarawak dalam MA63, sebaliknya menggesa Kerajaan Persekutuan menunaikan apa yang partinya telah janjikan kepada rakyat Sabah.

Ir Awang yang juga Pengerusi Biro Perpaduan dan Integrasi STAR berkata demikian selepas menghadiri majlis ramah mesra Kaamatan anjuran bersama JPKK dan KRT Kg Gandukut di sini.

Sambutan itu dirasmikan Ardino Diris selaku Timbalan Pengerusi Safoda yang juga Pen. Setiausaha Agung STAR dan Bendahari Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Hadir sama Ketua Bahagian STAR Tempasuk Suwah Buleh dan Timbalan Ketua Bahagian STAR Kadamaian Marcus Labit.

Ir Awang Saleh menegaskan, Perjuangan MA63 merupakan cetusan idealisme Pemimpin STAR Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan yang kini telah diterima pakai sebagai asas perjuangan GRS.


Ir Awang Saleh menyampaikan hadiah Rombituon Kaamatan.

Ir Awang Saleh bersama Ardina (kanan) menyampaikan hadiah tarik tali.

Ir Awang Saleh dan Ardino (tengah) memulakan tarik tali.


 

No comments:

Post a Comment