Monday, July 11, 2022

STAR sokong usul Kadazandusun, Cina bahasa rasmi kedua Sabah

 

ROBERT dan STEPHEN TEO

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah menyokong usul memasukkan bahasa Kadazandusun dan Cina sebagai bahasa rasmi kedua Kerajaan Sabah bersama bahasa Inggeris.

Timbalan Presiden STAR Datuk Robert Tawik berkata sudah sampai masanya memasukkan bahasa Kadazandusun sebagai bahasa rasmi Sabah kerana bahasa itu sudah berada dalam kurikulum pendidikan dan institusi pengajian tinggi.

“Kempen berbahasa Kadazandusun diadakan secara meluas di pelbagai daerah khususnya sepanjang bulan Kaamatan setiap tahun,” kata Robert yang juga Naib Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA).

Robert menjelaskan, status bahasa rasmi Kadazandusun dapat memperluas usaha kerajaan menyalur pelbagai inisiatif dan insentif kepada pelbagai bahasa daerah yang tergolong dalam etnik Dusunik, Murutik dan Paitanik.

Menurut Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya, kini bahasa Kadazandusun di sekolah dan institusi pengajian tinggi diikuti pelajar pelbagai etnik dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

“Malahan kita diberitahu, terdapat sekolah-sekolah di Semenanjung Malaysia berminat memperkenalkan pengajaran bahasa Kadazandusun,” kata Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor.

Manakala Naib Presiden STAR Kapitan Stephen Teo yakin, bahasa Cina sudah berada di atas landasan arus perdana untuk diterima sebagai bahasa rasmi di Sabah.

Stephen yang juga Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) mengambil contoh, sekolah-sekolah Cina di Sabah dihadiri pelajar berbilang etnik di mana terdapat sekolah Cina memiliki ramai murid etnik bukan Cina.

Stephen menegaskan, penggunaan bahasa Cina secara rasmi dapat menjadi kelebihan kepada Kerajaan Sabah dalam memperluas hubungan antarabangsa dan menarik pelaburan asing.

“Pada waktu yang sama, generasi pelbagai etnik yang terdidik dalam bahasa Cina bakal memperoleh ruang memperkembang potensi dan kerjaya,” kata Stephen.

Terdahulu, Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Gee Tien Siong mencadangkan bahasa Kadazandusun dan bahasa Cina dimasukkan bersama bahasa Inggeris dalam usul di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sebagai bahasa rasmi kedua.


The Borneo Post 11/7/22


No comments:

Post a Comment