Tuesday, July 26, 2022

Naik taraf Tungku daerah penuh, bina kompleks sukan: STAR

 

Suling (tengah) bersama penganjur dan peserta.

TUNGKU (Lahad Datu): Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Bahagian Tungku meletakkan sasaran meminta kerajaan menaik taraf status Daerah Kecil Tungku menjadi Daerah Penuh. 

Ahli Majlis Tertinggi STAR Suling Isib berkata, naik taraf status Tungku menjadi Daerah Penuh diharap dapat diiringi pembangunan pelbagai kemudahan termasuk pembinaan Kompleks Sukan Daerah Tungku. 

“Kita percaya, Tungku mampu mencapai status Daerah Penuh berdasarkan perkembangan sumber ekonomi setempat di samping peningkatan bilangan penduduk yang kian memerlukan kehidupan serba maju,” katanya. 

Suling yang juga Ketua Bahagian STAR Tungku berkata demikian ketika merasmikan gelanggang bola tampar di Kg Seri Darun di sini. 

Suling merasmikan gelanggang bola tampar.

Perasmian gelanggang yang dibina dari peruntukan Kementerian Belia dan Sukan itu turut diisi dengan perlawanan persahatan enam pasukan antara umat gereja yang disaksikan penduduk setempat. 

Suling menegaskan, pembinaan kompleks sukan di Tungku dapat memantapkan lagi pembangunan sukan setempat di samping dapat menyumbang kemajuan sukan untuk Sabah dan negara. 

Sebagai mendukung pembangunan sukan setempat, Suling mengambil inisiatif menyalurkan sumbangan jersi dan peralatan sukan kepada pasukan yang turut serta.

Suling menyampaikan sumbangan peralatan sukan.




No comments:

Post a Comment