Thursday, July 14, 2022

Konsep GRS beri anjakan rakyat sokong gabungan parti tempatan

 

Jalumin (ketiga kanan) bersama tetamu di Masjid Kg Taburon.


KOTA BELUD: Konsep Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menaungi politik Sabah memberi anjakan paradigma kepada rakyat untuk bersatu menyokong parti-parti tempatan tanpa mengira keturunan dan agama.

Ketua Penerangan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Jalumin Bayogoh berkata reaksi penduduk pelbagai lapisan masyarakat menunjukkan mereka mahu memberi ruang kepada parti tempatan Sabah untuk meneraju kerajaan.

“Selama ini rakyat merasakan sokongan mereka kepada parti-parti dari Kuala Lumpur kurang berbaloi kerana parti-parti berkenaan tidak konsisten membantu menyelesaikan masalah hakiki rakyat Sabah,” katanya yang juga Ketua Penyelaras STAR Kota Belud.

Jalumin yang juga Timbalan Pengerusi Korporasi Pembangunan Desa (KPD) berkata demikian selepas menghadiri sambutan Hari Raya Korban di Masjid Kg Taburon di sini.

Sambutan itu dihadiri penduduk kampung tanpa mengira anutan agama sesuai fatwa Mufti Sabah yang menyatakan sembelihan korban boleh diagihkan kepada penduduk bukan Islam.

Jalumin yang menyumbang seekor lembu berkata, masjid kampung itu dipilih sebagai memberi sokongan kepada organisasi masjid dan seterusnya berkhidmat kepada penduduk kampung berkenaan.

"Masih banyak keindahan agama Islam yang ingin kita kongsikan kepada saudara kita di sini," tambah Jalumin.

Hadir sama Imam Madli yang juga Imam Daerah Kota Belud, Cikgu Abdullah Nawawi, Mursalim Tuah dan beberapa rakan yang mempunyai visi ibadah yang sama.

Pengerusi Masjid yang juga Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Pintasan, Sikar Datin merakamkan penghargaan bagi pihak penduduk kampung di atas keprihatinan Jalumin dan rakan-rakan mengadakan sambutan itu.

Sikar berharap, sumbangan lembu korban itu akan terus mengeratkan silaturahim sesama penduduk kampung.


No comments:

Post a Comment