Friday, May 29, 2020

YB Robert membesar dengan merugup, mongingsakot, monorut, mangansar



Menghantar kerusi roda di Kg Ritting Apin Apin

Oleh PAUL UKAU
GERAK kerja sudah menjadi rutin bagi YB Robert Tawik sejak dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor dua tahun lalu.

Tiada lagi istilah ‘turun padang’ bagi Ahli Yang Berhormat ini kerana sememangnya gerak kerja di lapangan sudah menjadi tugas sehari-hari untuk bersama rakyat tanpa mengira musim senang mahupun sukar.

“Cara kerja YB Robert kini memperlihatkan keupayaan dan kebolehan beliau dalam menggalas tugas bagi menunaikan amanah membantu rakyat kawasan yang diwakilinya.

AMPIU

Keupayaan YB Robert dibuktikan dengan gerak kerja seharian tanpa protokol yang sentiasa responsif ke atas keperluan serta aduan rakyat untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

YB Robert sentiasa berada dalam lingkungan masyarakat untuk melihat, meninjau dan menyiasat sendiri keadaan sebenar kehidupan rakyat yang perlu dibantu.

Berpandukan slogan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang berbunyi “Kalau Bukan Kita Siapa Lagi, Kalau Bukan Sekarang Bila Lagi?” kepimpinan YB Robert dibentuk dan kini sedang mewarnai pendekatannya dalam pelayanan kepada pengundi.

Mantan Ketua Kampung yang juga penduduk Kg Nuntunan Apin Apin, Ampiu Ambulian Kantuon Singgon, 63, menyatakan YB Robert memiliki ciri-ciri kepimpinan dinamik dan berwibawa.

“Hubungannya dengan rakyat di kawasan amat mesra dan akrab,” katanya.


SUMBANGAN Kerusi Roda kepada umat melalui gereja

Menurut Ampiu YB Robert rajin masuk kampung dan jika ada kematian dan kenduri, beliau pasti hadir menghulurkan bantuan.

Kata Ampiu lagi, YB Robert juga mudah didampingi dan mesra dengan masyarakat setempat tanpa mengira kaum dan agama.

“Inilah kelebihan YB Robert, tidak dinafikan beliau merupakan seorang yang tidak kekok, tidak sombong dan selalu bersama rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Menurut Ampiu, YB Robert bukan sahaja seorang Ahli Yang Berhormat bersikap mesra, prihatin dan mempunyai perwatakan serta personaliti bersahaja, tetapi juga sebagai kawan yang boleh dibawa bergurau.

MENGHANTAR Sumbangan tongkat kepada OKU

“Sifat semulajadi YB Robert yang mudah didekati membuatkan rakyat tidak segan dan kekok mengutarakan permasalahan yang dihadapi,” kata Ampiu.

Ampiu menceritakan latar kehidupan YB Robert sebagai petani telah menjadikan dirinya memiliki kemampuan luar biasa untuk menghayati dan menyelami denyut nadi hati rakyat.

Menurut Ampiu, beliau sempat memerhati keadaan hidup YB Robert sejak kecil hingga remaja yang terlibat dalam kerja-kerja tani yang telah menjadi asam garam dalam kehidupan.

Kata Ampiu, YB Robert ketika zaman remajanya biasa bekerja di sawah dalam ‘merugup’ (bahasa etnik Gana yang bererti gotong royong), ‘mongingsakot’ (buang rumput di celah pokok padi), menjahit atap rumbia (monorut), mengambil bambu, rotan dan mengikat pagar dengan rotan (mangansar).

Dari kebiasaan hidup masa kecil dan remaja telah membentuk perwatakan YB Robert yang memiliki pertalian rasa dengan rakyat apabila meneima suatu keluhan yang dajukan rakyat.

YB Robert juga selalu datang menemui penduduk untuk menghantar bantuan termasuk kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

MENGHANTAR kerusi roda untuk Mitus Kimbor
di Kg Takad Apin Apin



Wednesday, May 27, 2020

Penduduk Buang Sayang rayu perbesar parit atasi banjir

MELIMPAH: Parit jalan yang tidak diselenggara dan culvert kecil
antara penyebab limpahan membanjiri perkampungan.


Oleh PAUL UKAU
KENINGAU: Penduduk Kg Buang Sayang Bingkor meminta jabatan berkaitan agar mengambil tindakan memperbaiki sistem perparitan di kampung berkenaan kerana mengakibatkan banjir setiap kali hujan.

Subarjoe Jalil Angkub, 59, berkata hujan lebat setengah jam kira-kira 4.30 petang 22 Mei lalu mengakibatkan limpahan banjir ke dalam rumahnya beserta rumah lain berdekatan.

“Mujur kejadian berlaku pada waktu siang ketika kami sekeluarga berada dalam rumah kerana tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” katanya sambil menjelaskan banjir berlaku kerana parit dan culvert berhampiran kecil tidak mampu menampung aliran air.

LIMPAHAN: Rumah Subarjoe yang dinaiki air.

Menurut Subarjoe, banjir yang berlaku tiba-tiba itu merupakan kali ke-7 tahun ini menyebabkan rumahnya dinaiki air, namun yang terakhir itu lebih besar.

Subarjoe menjelaskan pihaknya telah beberapa kali mengajukan masalah berkenaan termasuk dalam mesyuarat JKKK namun belum ada tindakan penyelesaian dilaksanakan.

Kata Subarjoe, penyelesaian alternatif yang perlu dilakukan ialah membina parit konkrit dengan memperbesarkan parit jalan menggantikan culvert sedia ada dengan ukuran yang lebih besar.

Beberapa lokasi yang turut memerlukan penggantian culvert, katanya ialah di persimpangan rumah Willy Saribut, Paulus Apin, Eddie Michael dan persimpangan dekat rumahnya.

CULVERT: Subarjoe menunjukkan culvert yang
perlu diganti kepada ukuran yang lebih besar.

Subarjoe turut mencadangkan agar pemasangan culvert yang lebih besar di sempadan Kg Bunsit dan Kg Antolob dapat dilaksanakan bagi menampung aliran air yang mana ketika ini menyebabkan limpahan air ke jalan raya dan membanjiri Kg Buang Sayang.

Subarjoe memaklumkan tinjauan telah dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor Robert Tawik dan memberitahu pihaknya akan membawa perkara berkenaan kepada jabatan berkaitan untuk tindakan.

BANJIR: Keadaan rumah Subarjoe yang dinaiki air.

Sementara itu seorang lagi penduduk, Oliver Basir Umpason, 52, yang rumahnya turut dinaiki air berharap masalah berkenaan dapat ditangani segera.

“Sepatutnya air dari bukit yang mengalir ketika hujan melalui aliran asal, namun kerana aliran itu ditutup semasa pembinaan jalan berturap maka air turun ke parit jalan raya di perkampungan berkenaan,” katanya.

Oliver turut mencadangkan agar culvert di kawasan perkuburan berdekatan kediamannya diganti dengan ‘box culvert’ berukuran enam kaki bagi melancarkan aliran air terutama ketika hujan.

Katanya, ukuran culvert sedia ada tidak dapat menampung aliran air sehingga melimpah ke jalan raya dan membanjiri perkampungan.

PARIT: Keadaan parit jalan dan culvert yang perlu dibaiki
mengggunakan bahan konkrit.







ADUN Bingkor tempah 'Hitachi' bina parit atasi banjir

KOREK: Pembinaan parit untuk mengalir air hujan sambil disaksikan
keluarga  Rosalinda.

Oleh PAUL UKAU
KENINGAU: Aduan penduduk Kg Baru Bingkor 22 Mei lalu berhubung rumah dinaiki banjir memperoleh maklum balas dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor semalam dengan menghantar jentera pengorek parit.

ADUN Bingkor Robert Tawik memberitahu pihaknya dimaklumkan rumah kediaman Rosalinda Tuving Lintou dinaiki banjir lalu membuat pemantauan serta-merta untuk mengenal pasti masalah yang perlu diambil tindakan.

“Saya mendapati rumah di kawasan berkenaan dinaiki banjir kerana ketiadaan parit untuk mengalirkan air setiap kali hujan,” katanya.

Robert kemudian menempah traktor jentolak (backhoe) untuk mengorek parit sejauh 120 meter untuk mengalirkan air hujan mengelak takungan air di perumahan.

Rosalinda yang berada di lokasi ketika pengorekan parit menyatakan amat berterima kasih dengan bantuan dan tindakan serta-merta Robert yang tidak memerlukan protokol untuk mengajukan masalah.

Menurutnya masalah itu diajukan melalui media sosial tanpa melalui surat rasmi atau mesyuarat penduduk lalu mendapat perhatian serta-merta dari wakil rakyat.

BANJIR: Keadaan rumah Rosalinda
yang dinaiki air.


SALIRAN: Kerja-kerja pengorekan parit sejauh 120 meter.






Tuesday, May 26, 2020

ADUN Bingkor minta KPI bina pengepam air Sg Pegalan ke Loji Bunsit

TURUN PADANG: Robert tinjau masalah pengairan
sawah di Kg Sasaie Bingkor.


Oleh PAUL UKAU
KENINGAU: Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI) diminta pertimbang pembinaan struktur mukasauk dan pengepaman air Sungai Pegalan untuk membekalkan air mentah ke Loji Rawatan Air Bunsit Bingkor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor Robert Tawik berkata pihaknya mengemukakan cadangan itu sebagai langkah penyelesaian alternatif bagi masalah kekurangan air di sini pada masa sekarang.

“Perkara ini merupakan antara beberapa cadangan yang dikemukakan semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dalam Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Ke-15 lalu,” katanya.

Robert yang baru dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia bagaimanapun memberitahu dalam jawapan bertulis menteri Datuk Peter Anthony dinyatakan cadangan itu dimasuk dalam pelaksanaan akan datang.

Robert yang juga Naib Presiden Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (STAR) memaklumkan dalam jawapan bertulis itu dinyatakan cadangan itu dimasukkan dalam senarai Pembangunan Bekalan Air Rancangan Malaysia Ke-12.

KERING: Sawah gersang di Kg Bandukan Baru Bingkor.

“Kita difahamkan cadangan pembinaan bekalan air dari Sungai Pegalan itu dimasukkan di bawah Peruntukan Pembiayaan Pinjaman Mudah Persekutuan yang tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan Kementerian Alam Sekitar Malaysia,” katanya.

Robert menambah, masalah kekurangan air di kawasan ini telah lama berlaku dan melibatkan kira-kira 10,000 pengguna.

Seterusnya Robert menegaskan pihaknya melihat cadangan terbaik ialah pembinaan struktur mukasauk dan pengepaman air seperti yang dicadangkan dari Sungai Pegalan ke loji Bunsit Bingkor.

“Saya yakin inilah penyelasaian terbaik bagi masalah kekurangan air yang sering menghantui penduduk kawasan ini terutama pada musim kemarau dan musim penanaman padi,” jelasnya.

Dalam menghadapi kekurangan air terawat dan pengairan sawah, Robert menyatakan tidak banyak usaha yang dapat dilakukan pihak berwajib ketika ini selain mencatu air secara bergilir di antara beberapa kampung dan blok sawah.

 
LOJI: Mukasauk Bunsit mulai kering.





Penduduk amat berharap bina jambatan konkrit Bingkor Bypass

JAMBATAN: Bingkor Bypass dengan laluan sehala.

Oleh PAUL UKAU
KENINGAU: Penduduk beberapa kampung di sini menyambut dengan penuh harapan jawapan bertulis Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony yang menyatakan jambatan Bingkor Bypass sudah diluluskan dan mula dibina tahun 2020 ini.

Peter menyatakan demikian dalam jawapan ke atas soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor Robert Tawik semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah November 2019.
 
WONG LANGKAB
“Bilakah kerajaan memulakan pelaksanaan pembinaan jambatan konkrit menggantikan jambatan kayu Bailey Bridge Bingkor Bypass yang amat membahayakan pengguna kerana mengalami kerosakan meski sudah dibaiki beberapa kali,” soal Robert tentang jambatan tersebut yang terletak di Kg Sasaie Bingkor.

Peter menjelaskan cadangan pembinaan jambatan di sungai Pamalan KM1.1 Jalan Bingkor Bypass telah diluluskan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas dan pelaksanaan pembinaan jambatan tersebut bermula awal 2020 ini.

Jambatan berkenaan merupakan laluan dekat di antara Pekan Keningau dan simpang empat Bingkor-Binaong yang memberi manfaat kepada kira-kira 2000 penduduk di 15 kampung.

Selain 15 kampung, turut memperoleh manfaat jambatan itu ialah warga SMK Bingkor, SK Bingkor, SK Bunsit, Klinik Kesihatan Bingkor, Pejabat LKTNS dan Korporasi Pembangunan Desa (KPD).

Jambatan ‘Bailey’ merupakan sejenis jambatan mudah alih pasang siap yang mempunyai kekuda, sebahagian besarnya dibangunkan oleh British untuk kegunaan tentera semasa Perang Dunia II.
 
MOSES SADOON
LASAWON
Wong Langkab dari Kg Sasaie menyatakan sudah sampai masanya jambatan lama diganti dengan jambatan baharu.

“Kelulusan Kerajaan Negeri membina jambatan baharu menjadi berita baik kepada kita semua,” katanya.

Wong yang tinggal kira-kira 100 meter dari jambatan itu menyambut kelulusan berkenaan dengan penuh sinar gembira dan berharap dapat dilaksanakan mengikut jadual.

Menurut Wong keadaan jambatan itu amat berisiko dan boleh menjadi perangkap maut kepada para pengguna.

Wong menceritakan pernah seorang penduduk Kg Sasaie meninggal apabila kenderaan yang dipandunya terbabas ke sungai ketika melewati jambatan berkenaan.

Di samping itu, katanya beberapa pengguna mengalami kecederaan apabila kenderaan termasuk motosikal mereka mengalami kemalangan ketika melalui jambatan itu pada waktu malam ketika hujan.

Wong berkongsi cerita, dalam tempoh sebulan pasti ada berlaku kemalangan di jambatan sehala itu, baik terlanggar tepi besi jambatan atau tergelincir di permukaan jambatan kayu yang licin.

“Tambahan pula tiada lampu jalan di kawasan berkenaan,” jelasnya.

Moses Sadoon Lasawon dari Kg Kooluaw Tandian berharap pembinaan jambatan kali ini biarlah menggunakan struktur konkrit yang kekal.

“Penggunaan struktur konkrit diharapkan dapat menghindar kemalangan serta melancarkan lalu lintas yang melibatkan kira-kira 200 kenderaan setiap hari,” katanya.

Moses seterusnya memuji kepimpinan dan kewibawaan Robert selaku ADUN Bingkor yang mengusulkan pembinaan jambatan berkenaan ketika persidangan DUN.


KUK St Francis of Asisi terima dana PA System dari ADUN Bingkor


DANA: Robert (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Jelius.

Oleh PAUL UKAU
KENINGAU: Komuniti Umat Katolik (KUK) Gereja St.Franchis Of Asisi Kg Tagai pagi ini (23 Mei) menerima  dana pembelian sistem siaraya sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor.

ADUN Bingkor Robert Tawik berharap sumbangan itu dapat menambah tabung gereja berkenaan untuk membeli kelengkapan.

"Semoga sumbangan ini dapat membantu pembelian kelengkapan untuk umat beribadat," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Komuniti Umat Katolik (KUK) Jelius Benjuin ketika menerima sumbangan itu merakamkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan Robert. 

Jelius menyifatkan sumbangan itu sebagai memberi makna yang besar kepada pengurusan gereja dan umat bagi merealisasikan impian melengkapkan keperluan beribadat.

“Kami bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih sebab YB kerana terbuka hati menyumbangkan kepada kami dana ini,” jelas Jelius. 


Monday, May 25, 2020

STAR kian menarik penyertaan pengundi tidak berparti


Sertai STAR setelah dua tahun menilai parti-parti politik



Oleh PAUL UKAU
KENINGAU: Seorang pengundi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor menceritakan telah mengambil masa hampir dua tahun untuk memilih parti politik yang ingin disertai.

SERTAI STAR: Robert (tengah) menerima borang
penyertaan STAR dari Elegius sambil
diperhatikan Junior (kanan).

Elegius Raimon dari Kg Liaut Laut Apin Apin dalam Pusat Daerah Mengundi Merampong mengakhiri masa penilaian parti dengan menyertai Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

“Setelah meneliti perjuangan STAR maka saya teruja dan terpanggil untuk memohon menjadi ahli STAR,” katanya.

Elegius berkata demikian ketika mengemukakan borang permohonan menjadi ahli STAR kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor Robert Tawik di Pejabat Perhubungan ADUN Bingkor di sini.

Elegius menjelaskan sebagai pengundi tanpa parti, sebelum ini pun pihaknya merupakan penyokong kepada perjuangan Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan YB Robert selaku Naib Presiden.

Menurut Elegius perjuangan yang konsisten dan berforkus tentang hak-hak anak negeri oleh Presiden dan Naib Presiden telah membuka hatinya untuk menyertai STAR.

Elegius yakin lebih ramai kalangan pengundi kawasan itu khususnya golongan Generasi Y akan menyertai STAR dalam masa terdekat dan menjelang PRU15.

Sementara itu Robert yang juga Ketua Bahagian STAR Bingkor ketika mengalu-alukan penyertaan Elegius ke dalam parti itu menyatakan pihaknya sentiasa membuka pintu seluas-luasnya kepada semua pihak yang mahu menyertai STAR.

Turut hadir Setiausaha Bahagian STAR Bingkor Junior Fred.