Tuesday, May 26, 2020

Penduduk amat berharap bina jambatan konkrit Bingkor Bypass

JAMBATAN: Bingkor Bypass dengan laluan sehala.

Oleh PAUL UKAU
KENINGAU: Penduduk beberapa kampung di sini menyambut dengan penuh harapan jawapan bertulis Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony yang menyatakan jambatan Bingkor Bypass sudah diluluskan dan mula dibina tahun 2020 ini.

Peter menyatakan demikian dalam jawapan ke atas soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor Robert Tawik semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah November 2019.
 
WONG LANGKAB
“Bilakah kerajaan memulakan pelaksanaan pembinaan jambatan konkrit menggantikan jambatan kayu Bailey Bridge Bingkor Bypass yang amat membahayakan pengguna kerana mengalami kerosakan meski sudah dibaiki beberapa kali,” soal Robert tentang jambatan tersebut yang terletak di Kg Sasaie Bingkor.

Peter menjelaskan cadangan pembinaan jambatan di sungai Pamalan KM1.1 Jalan Bingkor Bypass telah diluluskan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas dan pelaksanaan pembinaan jambatan tersebut bermula awal 2020 ini.

Jambatan berkenaan merupakan laluan dekat di antara Pekan Keningau dan simpang empat Bingkor-Binaong yang memberi manfaat kepada kira-kira 2000 penduduk di 15 kampung.

Selain 15 kampung, turut memperoleh manfaat jambatan itu ialah warga SMK Bingkor, SK Bingkor, SK Bunsit, Klinik Kesihatan Bingkor, Pejabat LKTNS dan Korporasi Pembangunan Desa (KPD).

Jambatan ‘Bailey’ merupakan sejenis jambatan mudah alih pasang siap yang mempunyai kekuda, sebahagian besarnya dibangunkan oleh British untuk kegunaan tentera semasa Perang Dunia II.
 
MOSES SADOON
LASAWON
Wong Langkab dari Kg Sasaie menyatakan sudah sampai masanya jambatan lama diganti dengan jambatan baharu.

“Kelulusan Kerajaan Negeri membina jambatan baharu menjadi berita baik kepada kita semua,” katanya.

Wong yang tinggal kira-kira 100 meter dari jambatan itu menyambut kelulusan berkenaan dengan penuh sinar gembira dan berharap dapat dilaksanakan mengikut jadual.

Menurut Wong keadaan jambatan itu amat berisiko dan boleh menjadi perangkap maut kepada para pengguna.

Wong menceritakan pernah seorang penduduk Kg Sasaie meninggal apabila kenderaan yang dipandunya terbabas ke sungai ketika melewati jambatan berkenaan.

Di samping itu, katanya beberapa pengguna mengalami kecederaan apabila kenderaan termasuk motosikal mereka mengalami kemalangan ketika melalui jambatan itu pada waktu malam ketika hujan.

Wong berkongsi cerita, dalam tempoh sebulan pasti ada berlaku kemalangan di jambatan sehala itu, baik terlanggar tepi besi jambatan atau tergelincir di permukaan jambatan kayu yang licin.

“Tambahan pula tiada lampu jalan di kawasan berkenaan,” jelasnya.

Moses Sadoon Lasawon dari Kg Kooluaw Tandian berharap pembinaan jambatan kali ini biarlah menggunakan struktur konkrit yang kekal.

“Penggunaan struktur konkrit diharapkan dapat menghindar kemalangan serta melancarkan lalu lintas yang melibatkan kira-kira 200 kenderaan setiap hari,” katanya.

Moses seterusnya memuji kepimpinan dan kewibawaan Robert selaku ADUN Bingkor yang mengusulkan pembinaan jambatan berkenaan ketika persidangan DUN.


No comments:

Post a Comment