Tuesday, May 26, 2020

ADUN Bingkor minta KPI bina pengepam air Sg Pegalan ke Loji Bunsit

TURUN PADANG: Robert tinjau masalah pengairan
sawah di Kg Sasaie Bingkor.


Oleh PAUL UKAU
KENINGAU: Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI) diminta pertimbang pembinaan struktur mukasauk dan pengepaman air Sungai Pegalan untuk membekalkan air mentah ke Loji Rawatan Air Bunsit Bingkor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor Robert Tawik berkata pihaknya mengemukakan cadangan itu sebagai langkah penyelesaian alternatif bagi masalah kekurangan air di sini pada masa sekarang.

“Perkara ini merupakan antara beberapa cadangan yang dikemukakan semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dalam Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Ke-15 lalu,” katanya.

Robert yang baru dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia bagaimanapun memberitahu dalam jawapan bertulis menteri Datuk Peter Anthony dinyatakan cadangan itu dimasuk dalam pelaksanaan akan datang.

Robert yang juga Naib Presiden Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (STAR) memaklumkan dalam jawapan bertulis itu dinyatakan cadangan itu dimasukkan dalam senarai Pembangunan Bekalan Air Rancangan Malaysia Ke-12.

KERING: Sawah gersang di Kg Bandukan Baru Bingkor.

“Kita difahamkan cadangan pembinaan bekalan air dari Sungai Pegalan itu dimasukkan di bawah Peruntukan Pembiayaan Pinjaman Mudah Persekutuan yang tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan Kementerian Alam Sekitar Malaysia,” katanya.

Robert menambah, masalah kekurangan air di kawasan ini telah lama berlaku dan melibatkan kira-kira 10,000 pengguna.

Seterusnya Robert menegaskan pihaknya melihat cadangan terbaik ialah pembinaan struktur mukasauk dan pengepaman air seperti yang dicadangkan dari Sungai Pegalan ke loji Bunsit Bingkor.

“Saya yakin inilah penyelasaian terbaik bagi masalah kekurangan air yang sering menghantui penduduk kawasan ini terutama pada musim kemarau dan musim penanaman padi,” jelasnya.

Dalam menghadapi kekurangan air terawat dan pengairan sawah, Robert menyatakan tidak banyak usaha yang dapat dilakukan pihak berwajib ketika ini selain mencatu air secara bergilir di antara beberapa kampung dan blok sawah.

 
LOJI: Mukasauk Bunsit mulai kering.





No comments:

Post a Comment