Wednesday, May 27, 2020

Penduduk Buang Sayang rayu perbesar parit atasi banjir

MELIMPAH: Parit jalan yang tidak diselenggara dan culvert kecil
antara penyebab limpahan membanjiri perkampungan.


Oleh PAUL UKAU
KENINGAU: Penduduk Kg Buang Sayang Bingkor meminta jabatan berkaitan agar mengambil tindakan memperbaiki sistem perparitan di kampung berkenaan kerana mengakibatkan banjir setiap kali hujan.

Subarjoe Jalil Angkub, 59, berkata hujan lebat setengah jam kira-kira 4.30 petang 22 Mei lalu mengakibatkan limpahan banjir ke dalam rumahnya beserta rumah lain berdekatan.

“Mujur kejadian berlaku pada waktu siang ketika kami sekeluarga berada dalam rumah kerana tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” katanya sambil menjelaskan banjir berlaku kerana parit dan culvert berhampiran kecil tidak mampu menampung aliran air.

LIMPAHAN: Rumah Subarjoe yang dinaiki air.

Menurut Subarjoe, banjir yang berlaku tiba-tiba itu merupakan kali ke-7 tahun ini menyebabkan rumahnya dinaiki air, namun yang terakhir itu lebih besar.

Subarjoe menjelaskan pihaknya telah beberapa kali mengajukan masalah berkenaan termasuk dalam mesyuarat JKKK namun belum ada tindakan penyelesaian dilaksanakan.

Kata Subarjoe, penyelesaian alternatif yang perlu dilakukan ialah membina parit konkrit dengan memperbesarkan parit jalan menggantikan culvert sedia ada dengan ukuran yang lebih besar.

Beberapa lokasi yang turut memerlukan penggantian culvert, katanya ialah di persimpangan rumah Willy Saribut, Paulus Apin, Eddie Michael dan persimpangan dekat rumahnya.

CULVERT: Subarjoe menunjukkan culvert yang
perlu diganti kepada ukuran yang lebih besar.

Subarjoe turut mencadangkan agar pemasangan culvert yang lebih besar di sempadan Kg Bunsit dan Kg Antolob dapat dilaksanakan bagi menampung aliran air yang mana ketika ini menyebabkan limpahan air ke jalan raya dan membanjiri Kg Buang Sayang.

Subarjoe memaklumkan tinjauan telah dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor Robert Tawik dan memberitahu pihaknya akan membawa perkara berkenaan kepada jabatan berkaitan untuk tindakan.

BANJIR: Keadaan rumah Subarjoe yang dinaiki air.

Sementara itu seorang lagi penduduk, Oliver Basir Umpason, 52, yang rumahnya turut dinaiki air berharap masalah berkenaan dapat ditangani segera.

“Sepatutnya air dari bukit yang mengalir ketika hujan melalui aliran asal, namun kerana aliran itu ditutup semasa pembinaan jalan berturap maka air turun ke parit jalan raya di perkampungan berkenaan,” katanya.

Oliver turut mencadangkan agar culvert di kawasan perkuburan berdekatan kediamannya diganti dengan ‘box culvert’ berukuran enam kaki bagi melancarkan aliran air terutama ketika hujan.

Katanya, ukuran culvert sedia ada tidak dapat menampung aliran air sehingga melimpah ke jalan raya dan membanjiri perkampungan.

PARIT: Keadaan parit jalan dan culvert yang perlu dibaiki
mengggunakan bahan konkrit.







No comments:

Post a Comment