Friday, September 25, 2020

Kerjasama STAR, PBS beri kemenangan awal Gabungan Rakyat Sabah (GRS)

 

JUBIRIN Ketua Markas PN Kg Sandapak.

KENINGAU: Permuafakatan yang dicapai pada saat akhir di antara calon STAR dan PBS memberikan kemenangan selesa kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melalui calon Perikatan Nasional (PN-STAR) 26 September ini.

Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kesepakatan dicapai untuk mengelak pertembungan sesame sendiri di kawasan DUN Bingkor, Tambunan, Bengkoka dan Api-Api.

“Perkembangan terbaru itu menjadi satu berita baik untuk kemenangan awal calon PN-STAR Robert Tawik di DUN Bingkor,” kata Ketua PDM Markas Kg Sandapak Jubirin Samsul Richard.

Menurut Jubirin, atas kesepakatan itu sudah tentu undi PBS akan memihak dan beralih kepada PN dan factor itu akan memberi kemenangan dengan majoriti besar.

Calon PBS Peter Jino Allion bersama penyokongnya pada majlis ringkas
memberi laluan kepada calon PN di kediamannya
di Kg Sasaie Bingkor.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, PBS turut bertanding melalui calon yang sama, Peter Jino Allion, seorang peguam tetapi tewas tipis dengan 165 undi kepada calon STAR Robert Tawik yang memperolehi 4,552 undi.

Tidak dapat dinafikan faktor calon adalah salah satu penyumbang kemenangan dan merupakan pemberat utama pengundi memilih  wakil rakyat terutama di kawasan DUN Bingkor.

Kepimpinan PN telah membuat keputusan tepat apabila memilih penyandang ADUN Robert Tawik bertanding semula mempertahankan kerusi DUN Bingkor yang merupakan anak jati tempatan.

“Walau pun hanya sempat berkhidmat separuh penggal, Robert telah menunjukkan perkhidmatan cemerlang mendekati pengundi kawasan ini,” katanya.

Calon-Calon Perikatan Nasional-Starsabah bersama
Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin
di Dewan Pisompuruan Tambunan.


Rata-rata pengundi berpendapat, untuk memberikan peluang sekali lagi kepada Robert menyambung perkhidmatan cemerlangnya ialah dengan mengundi dan memberikan kemenangan besar kepadanya.

Kawasan Bingkor menyaksikan pertandingan enam penjuru melibatkan PN, PBS, LDP, WARISAN, PCS dan USNO.

Terdapat 11 tempat Pusat Mengundi dikawasan DUN Bingkor. Masa mengundi bermula jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang.


Majlis Rapat Umum dan Semarak Perikatan Nasional.

Turut hadir dalam Semarak Perikatan Nasional di Dewan Pisompuruan Square Tambunan ialah calon-calon PN-STAR yang terdiri daripada Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Tambunan), Robert Tawik (Bingkor), Datuk Annuar Ayub (Liawan), Datuk Ellron Alfred Angin (Sook) dan Flovia Ng (Tulid).

Friday, July 17, 2020

Pirus terkilan diganti orang luar ketuai cawangan Warisan Uloi Tengah

PIRUS
PIRUS

TENOM: Penaja cawangan Parti Warisan Sabah Kg Uloi Tengah di sini merayu Ketua Bahagian Datuk Peter Anthony untuk mencari penyelesaian berkaitan isu pengguguran sebagai ketua cawangan digantikan dengan orang lain dari luar kampung berkenaan.

Pirus Ngalakon yang menjadi penaja cawangan berkenaan berkata pihaknya telah menyempurnakan butiran penubuhan cawangan itu sebelum pelancaran majlis di Kg Liuh Lagud pada 16 Julai 2019.

“Namun kami terkejut kerana dalam perjumpaan di Rumah Kebudayaan Murut 9 Julai lalu pihak kami dimaklumkan bahawa cawangan berkenaan telah diberikan kepada seseorang yang lain sebagai ketua,” katanya.

Pirus menyatakan pihaknya agak terkilan kerana tiada sebarang makluman diberikan sebelum itu, malahan tiada sebarang perundingan diadakan berkaitan pergantian ketua cawangan.

Pirus menegaskan pihaknya hanya mahu cawangan berkenaan diketuai oleh penduduk jati kampung berkenaan kerana lebih memahami keperluan kebajikan penduduk.

Thursday, June 11, 2020

Pembetung Binaong dibaiki sebaik PPM Bingkor terima aduan

SYUKUR: Peter (tengah) bersama Anggi (kiri)
ketika melakukan tinjauan.

Oleh PAUL UKAU
KENINGAU: Aduan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kg Binaong Bingkor berhubung kerosakan pembetung (culvert) akibat banjir kilat minggu lalu diatasi melalui tindakan serta-merta pihak berkaitan.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bingkor Peter Daigo berkata pihaknya menerima aduan dari Pengerusi MPKK Binaong Anggi Kathil lalu meminta pihak berkaitan memulakan kerja.

“Kami telah menjalankan tinjauan ke atas aduan itu dan mendapati ada keperluan mendesak untuk memperbaiki parit serta pembetung jalan yang dilaporkan,” katanya.

Peter melahirkan rasa syukur kerana kerosakan berkenaan dibaiki serta-merta dan siap sepenuhnya pada 6 Jun.

Bagi pihak penduduk, Anggi menyampaikan ucapan terima kasih di atas usaha Peter bertindak segera dalam menyelesaikan masalah yang diadukan kepadanya.

Penduduk turut menzahirkan ucapan syukur dan terima kasih di atas keprihatinan kerajaan mengatasi kerosakan berkenaan bagi melancarkan pergerakan dalam kampung.

SEGERA: Kerja-kerja pembaikan culvert Kg Binaong.
DIBAIKI: Culvert selepas pembaikan.



STAR Bingkor baiki rumah warga emas diterbang angin


AMAL: George ketuai gotong-royong baiki rumah warga emas.

Oleh PAUL UKAU
KENINGAU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bingkor mengadakan kerja amal bergotong-royong membaiki rumah warga emas, Maidin Lantai, 72, yang rosak diterbang angin kencang baru-baru ini.

Timbalan Ketua Jawatankuasa Pusat Daerah Mengundi STAR Bingkor George Dairie mengetuai kerja-kerja gotong-royong itu yang dibiayai sepenuhnya oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

“Kerja-kerja gotong-royong itu melibatkan penggantian zink dan pembaikan bahagian bumbung,” katanya.

Maidin melahirkan rasa syukur di atas bantuan Dr Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau serta sumbangan tenaga George dan rakan-rakan di kalangan ahli-ahli parti berkenaan.

Kawasan Bingkor diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Robert Tawik yang juga Naib Presiden STAR namun peruntukan ADUN bagi kawasan berkenaan dikendalikan oleh seorang anggota kabinet negeri.



Wednesday, June 3, 2020

STAR semakin gah baharui lanskap politik Pedalaman PRU15

Dr Jeffrey rasmi Pejabat Khidmat Rakyat Keningau 

Oleh PBU
PELANCARAN pembukaan Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Keningau minggu ini menandakan suatu permulaan baharu terhadap pembentukan lanskap politik zon Pedalaman pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

PRU15 bakal mengambil tempat pada tahun 2023 iaitu kurang tiga tahun dari sekarang.

Penampilan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan merasmikan pejabat itu menunjukkan kemudahan dari Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Putrajaya sedang mengalir ke Keningau.

Dr Jeffrey hantar bantuan rumah ke rumah

Kehadiran Dr Jeffrey jadi pemangkin kepada gerak kerja wakil-wakil rakyat serta para pemimpin STAR ke tengah-tengah masyarakat yang kini mula dirasai meskipun tidak memperoleh sebarang peruntukan dari Kerajaan Negeri Sabah.

Peruntukan di kawasan-kawasan yang diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) STAR dikendalikan seorang menteri kabinet negeri dan tidak disalurkan melalui ahli-ahli Yang Berhormat berkenaan.

Dr Jeffrey selaku ADUN Tambunan, YB Robert Tawik (ADUN Bingkor) dan YB Datuk Ellron Alfred Angin (ADUN Sook) tidak memperoleh peruntukan dari Kerajaan Negeri Sabah.

Namun pelantikan Dr Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dalam Kerajaan PN memberi sinar baharu kepada rakyat pedalaman.

YB Robert tinjau pengairan sawah di kawasan Bingkor

Sinar baharu itu menerangi tiga kawasan Parlimen dan tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di zon Pedalaman.

Pada PRU15, kerusi DUN Tulid bakal ditawarkan buat pertama kali kepada kalangan pengundi untuk memilih YB ADUN.

Analisis politik dalam zon pedalaman menunjukkan, jika sekiranya PRU diadakan pada bila-bila masa, Parti STAR tidak menghadapi masalah memenangi semula kawasan-kawasan yang sedang mereka wakili.

Dr Jeffrey boleh menang semula Kerusi Parlimen Keningau dan Kerusi DUN Tambunan.

Demikian juga dengan YB Robert, rakyat majoriti bakal memberi kemenangan semula kepadanya di Kerusi DUN Bingkor. 

Pemimpin berpengalaman, YB Datuk Ellron juga boleh menang semula di Kerusi DUN Sook. Malahan jika Datuk Ellron berpindah ke kawasan baharu DUN Tulid sekalipun, sokongan rakyat majoriti tetap berpihak kepadanya.

Datuk Ellron Angin

Ini kerana kawasan berkenaan sebelum ini termasuk dalam kawasan DUN Sook yang diwakilinya beberapa penggal.

Ini belum termasuk perkiraan di kawasan DUN Liawan yang sedang diwakili Rasinin Kautis dari Parti Warisan Sabah. Majoriti yang tipis diperoleh Rasinin pada PRU14 meletakkan kawasan berkenaan di hujung tanduk.

Kelibat Ketua Bahagian STAR Liawan, Datuk Annuar Datuk Ayub Aman sedang mengambil tempat di hati rakyat dalam kawasan itu.

Datuk Annuar Datuk Ayub Aman

Arus politik yang sama sedang bertiup di Tenom. Kecenderungan sokongan pengundi kawasan DUN Melalap tidak menjanjikan kemenangan semula Warisan yang kini diwakili Datuk Peter Anthony.

Ini kerana pada PRU14, Peter sekadar menang kawasan itu dengan majoriti tipis kira-kira 200 undi.

Kalangan pengundi kawasan DUN Melalap sedang membuat perhitungan untuk menebus kembali maruah etnik pada PRU15.

Jika STAR memutuskan meletak calon-calon di semua kawasan dalam zon Pedalaman, maka parti itu dilihat mampu menjadi pesaing utama untuk memenangi kawasan Parlimen Pensiangan, Parlimen Tenom, DUN Nabawan, DUN Melalap dan DUN Kemabong.

Tuesday, June 2, 2020

KK, MPKK hargai PPM Bingkor bina gabion sungai Tuarid Taud

KK AMIN BANTANGON

Oleh PAUL UKAU
KENINGAU: Penduduk kampung Tuarid Taud di sini menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bingkor Peter Daigo atas tindakan cepatnya menangani masalah hakisan tebing sungai kampung itu akibat banjir.

Ketua Kampung Kg Tuarid Taud KK Amin Bantangon dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kg Tuarid Taud Rahimin Rasimin berkata pihak mereka telah membuat aduan kepada PPM berkenaan masalah itu.

PETER DAIGO
“Bertindak atas aduan, Peter mengambil langkah serta-merta datang melihat sendiri masalah hakisan tebing sungai akibat banjir kilat pada 22 Mei lalu,” kata Rahimin.

BERSAMA: Penduduk bergotong-royong membina gabion.

Menurut Rahimin, Pejabat PPM juga turut menghubungi Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melaksanakan tindakan bersama.

Rahimin menambah kerja-kerja membina gabion kini hampir siap dilakukan secara gotong royong oleh penduduk setempat menggunakan peralatan yang disalurkan oleh JPS Daerah.

“Saya bagi pihak penduduk kampung amat berterima kasih di atas tindakan segera dan keprihatinan pihak PPM dan JPS,” kata Rahimin.

RAHIMIN

Jelas Rahimin, tindakan segera PPM Bingkor telah memastikan hakisan tebing sungai tidak membawa kesan runtuhan berterusan sehingga membawa risiko ke atas rumah-rumah penduduk.

Kata Rahimin, terdapat banyak rumah di tebing sungai berkenaan dan sekiranya tindakan tidak diambil segera, pasti mengakibatkan runtuhan yang serius.

Rahimin menyifatkan Peter sebagai ‘Pemimpin Berjiwa Rakyat’ yang bertindak serta-merta menangani permasalahan di kawasan jagaannya.

JPS: Membina gabion menggunakan peralatan dari JPS Daerah.




Friday, May 29, 2020

YB Robert membesar dengan merugup, mongingsakot, monorut, mangansar



Menghantar kerusi roda di Kg Ritting Apin Apin

Oleh PAUL UKAU
GERAK kerja sudah menjadi rutin bagi YB Robert Tawik sejak dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor dua tahun lalu.

Tiada lagi istilah ‘turun padang’ bagi Ahli Yang Berhormat ini kerana sememangnya gerak kerja di lapangan sudah menjadi tugas sehari-hari untuk bersama rakyat tanpa mengira musim senang mahupun sukar.

“Cara kerja YB Robert kini memperlihatkan keupayaan dan kebolehan beliau dalam menggalas tugas bagi menunaikan amanah membantu rakyat kawasan yang diwakilinya.

AMPIU

Keupayaan YB Robert dibuktikan dengan gerak kerja seharian tanpa protokol yang sentiasa responsif ke atas keperluan serta aduan rakyat untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

YB Robert sentiasa berada dalam lingkungan masyarakat untuk melihat, meninjau dan menyiasat sendiri keadaan sebenar kehidupan rakyat yang perlu dibantu.

Berpandukan slogan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang berbunyi “Kalau Bukan Kita Siapa Lagi, Kalau Bukan Sekarang Bila Lagi?” kepimpinan YB Robert dibentuk dan kini sedang mewarnai pendekatannya dalam pelayanan kepada pengundi.

Mantan Ketua Kampung yang juga penduduk Kg Nuntunan Apin Apin, Ampiu Ambulian Kantuon Singgon, 63, menyatakan YB Robert memiliki ciri-ciri kepimpinan dinamik dan berwibawa.

“Hubungannya dengan rakyat di kawasan amat mesra dan akrab,” katanya.


SUMBANGAN Kerusi Roda kepada umat melalui gereja

Menurut Ampiu YB Robert rajin masuk kampung dan jika ada kematian dan kenduri, beliau pasti hadir menghulurkan bantuan.

Kata Ampiu lagi, YB Robert juga mudah didampingi dan mesra dengan masyarakat setempat tanpa mengira kaum dan agama.

“Inilah kelebihan YB Robert, tidak dinafikan beliau merupakan seorang yang tidak kekok, tidak sombong dan selalu bersama rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Menurut Ampiu, YB Robert bukan sahaja seorang Ahli Yang Berhormat bersikap mesra, prihatin dan mempunyai perwatakan serta personaliti bersahaja, tetapi juga sebagai kawan yang boleh dibawa bergurau.

MENGHANTAR Sumbangan tongkat kepada OKU

“Sifat semulajadi YB Robert yang mudah didekati membuatkan rakyat tidak segan dan kekok mengutarakan permasalahan yang dihadapi,” kata Ampiu.

Ampiu menceritakan latar kehidupan YB Robert sebagai petani telah menjadikan dirinya memiliki kemampuan luar biasa untuk menghayati dan menyelami denyut nadi hati rakyat.

Menurut Ampiu, beliau sempat memerhati keadaan hidup YB Robert sejak kecil hingga remaja yang terlibat dalam kerja-kerja tani yang telah menjadi asam garam dalam kehidupan.

Kata Ampiu, YB Robert ketika zaman remajanya biasa bekerja di sawah dalam ‘merugup’ (bahasa etnik Gana yang bererti gotong royong), ‘mongingsakot’ (buang rumput di celah pokok padi), menjahit atap rumbia (monorut), mengambil bambu, rotan dan mengikat pagar dengan rotan (mangansar).

Dari kebiasaan hidup masa kecil dan remaja telah membentuk perwatakan YB Robert yang memiliki pertalian rasa dengan rakyat apabila meneima suatu keluhan yang dajukan rakyat.

YB Robert juga selalu datang menemui penduduk untuk menghantar bantuan termasuk kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

MENGHANTAR kerusi roda untuk Mitus Kimbor
di Kg Takad Apin Apin



Wednesday, May 27, 2020

Penduduk Buang Sayang rayu perbesar parit atasi banjir

MELIMPAH: Parit jalan yang tidak diselenggara dan culvert kecil
antara penyebab limpahan membanjiri perkampungan.


Oleh PAUL UKAU
KENINGAU: Penduduk Kg Buang Sayang Bingkor meminta jabatan berkaitan agar mengambil tindakan memperbaiki sistem perparitan di kampung berkenaan kerana mengakibatkan banjir setiap kali hujan.

Subarjoe Jalil Angkub, 59, berkata hujan lebat setengah jam kira-kira 4.30 petang 22 Mei lalu mengakibatkan limpahan banjir ke dalam rumahnya beserta rumah lain berdekatan.

“Mujur kejadian berlaku pada waktu siang ketika kami sekeluarga berada dalam rumah kerana tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” katanya sambil menjelaskan banjir berlaku kerana parit dan culvert berhampiran kecil tidak mampu menampung aliran air.

LIMPAHAN: Rumah Subarjoe yang dinaiki air.

Menurut Subarjoe, banjir yang berlaku tiba-tiba itu merupakan kali ke-7 tahun ini menyebabkan rumahnya dinaiki air, namun yang terakhir itu lebih besar.

Subarjoe menjelaskan pihaknya telah beberapa kali mengajukan masalah berkenaan termasuk dalam mesyuarat JKKK namun belum ada tindakan penyelesaian dilaksanakan.

Kata Subarjoe, penyelesaian alternatif yang perlu dilakukan ialah membina parit konkrit dengan memperbesarkan parit jalan menggantikan culvert sedia ada dengan ukuran yang lebih besar.

Beberapa lokasi yang turut memerlukan penggantian culvert, katanya ialah di persimpangan rumah Willy Saribut, Paulus Apin, Eddie Michael dan persimpangan dekat rumahnya.

CULVERT: Subarjoe menunjukkan culvert yang
perlu diganti kepada ukuran yang lebih besar.

Subarjoe turut mencadangkan agar pemasangan culvert yang lebih besar di sempadan Kg Bunsit dan Kg Antolob dapat dilaksanakan bagi menampung aliran air yang mana ketika ini menyebabkan limpahan air ke jalan raya dan membanjiri Kg Buang Sayang.

Subarjoe memaklumkan tinjauan telah dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor Robert Tawik dan memberitahu pihaknya akan membawa perkara berkenaan kepada jabatan berkaitan untuk tindakan.

BANJIR: Keadaan rumah Subarjoe yang dinaiki air.

Sementara itu seorang lagi penduduk, Oliver Basir Umpason, 52, yang rumahnya turut dinaiki air berharap masalah berkenaan dapat ditangani segera.

“Sepatutnya air dari bukit yang mengalir ketika hujan melalui aliran asal, namun kerana aliran itu ditutup semasa pembinaan jalan berturap maka air turun ke parit jalan raya di perkampungan berkenaan,” katanya.

Oliver turut mencadangkan agar culvert di kawasan perkuburan berdekatan kediamannya diganti dengan ‘box culvert’ berukuran enam kaki bagi melancarkan aliran air terutama ketika hujan.

Katanya, ukuran culvert sedia ada tidak dapat menampung aliran air sehingga melimpah ke jalan raya dan membanjiri perkampungan.

PARIT: Keadaan parit jalan dan culvert yang perlu dibaiki
mengggunakan bahan konkrit.







ADUN Bingkor tempah 'Hitachi' bina parit atasi banjir

KOREK: Pembinaan parit untuk mengalir air hujan sambil disaksikan
keluarga  Rosalinda.

Oleh PAUL UKAU
KENINGAU: Aduan penduduk Kg Baru Bingkor 22 Mei lalu berhubung rumah dinaiki banjir memperoleh maklum balas dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor semalam dengan menghantar jentera pengorek parit.

ADUN Bingkor Robert Tawik memberitahu pihaknya dimaklumkan rumah kediaman Rosalinda Tuving Lintou dinaiki banjir lalu membuat pemantauan serta-merta untuk mengenal pasti masalah yang perlu diambil tindakan.

“Saya mendapati rumah di kawasan berkenaan dinaiki banjir kerana ketiadaan parit untuk mengalirkan air setiap kali hujan,” katanya.

Robert kemudian menempah traktor jentolak (backhoe) untuk mengorek parit sejauh 120 meter untuk mengalirkan air hujan mengelak takungan air di perumahan.

Rosalinda yang berada di lokasi ketika pengorekan parit menyatakan amat berterima kasih dengan bantuan dan tindakan serta-merta Robert yang tidak memerlukan protokol untuk mengajukan masalah.

Menurutnya masalah itu diajukan melalui media sosial tanpa melalui surat rasmi atau mesyuarat penduduk lalu mendapat perhatian serta-merta dari wakil rakyat.

BANJIR: Keadaan rumah Rosalinda
yang dinaiki air.


SALIRAN: Kerja-kerja pengorekan parit sejauh 120 meter.






Tuesday, May 26, 2020

ADUN Bingkor minta KPI bina pengepam air Sg Pegalan ke Loji Bunsit

TURUN PADANG: Robert tinjau masalah pengairan
sawah di Kg Sasaie Bingkor.


Oleh PAUL UKAU
KENINGAU: Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI) diminta pertimbang pembinaan struktur mukasauk dan pengepaman air Sungai Pegalan untuk membekalkan air mentah ke Loji Rawatan Air Bunsit Bingkor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor Robert Tawik berkata pihaknya mengemukakan cadangan itu sebagai langkah penyelesaian alternatif bagi masalah kekurangan air di sini pada masa sekarang.

“Perkara ini merupakan antara beberapa cadangan yang dikemukakan semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dalam Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Ke-15 lalu,” katanya.

Robert yang baru dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia bagaimanapun memberitahu dalam jawapan bertulis menteri Datuk Peter Anthony dinyatakan cadangan itu dimasuk dalam pelaksanaan akan datang.

Robert yang juga Naib Presiden Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (STAR) memaklumkan dalam jawapan bertulis itu dinyatakan cadangan itu dimasukkan dalam senarai Pembangunan Bekalan Air Rancangan Malaysia Ke-12.

KERING: Sawah gersang di Kg Bandukan Baru Bingkor.

“Kita difahamkan cadangan pembinaan bekalan air dari Sungai Pegalan itu dimasukkan di bawah Peruntukan Pembiayaan Pinjaman Mudah Persekutuan yang tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan Kementerian Alam Sekitar Malaysia,” katanya.

Robert menambah, masalah kekurangan air di kawasan ini telah lama berlaku dan melibatkan kira-kira 10,000 pengguna.

Seterusnya Robert menegaskan pihaknya melihat cadangan terbaik ialah pembinaan struktur mukasauk dan pengepaman air seperti yang dicadangkan dari Sungai Pegalan ke loji Bunsit Bingkor.

“Saya yakin inilah penyelasaian terbaik bagi masalah kekurangan air yang sering menghantui penduduk kawasan ini terutama pada musim kemarau dan musim penanaman padi,” jelasnya.

Dalam menghadapi kekurangan air terawat dan pengairan sawah, Robert menyatakan tidak banyak usaha yang dapat dilakukan pihak berwajib ketika ini selain mencatu air secara bergilir di antara beberapa kampung dan blok sawah.

 
LOJI: Mukasauk Bunsit mulai kering.





Penduduk amat berharap bina jambatan konkrit Bingkor Bypass

JAMBATAN: Bingkor Bypass dengan laluan sehala.

Oleh PAUL UKAU
KENINGAU: Penduduk beberapa kampung di sini menyambut dengan penuh harapan jawapan bertulis Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony yang menyatakan jambatan Bingkor Bypass sudah diluluskan dan mula dibina tahun 2020 ini.

Peter menyatakan demikian dalam jawapan ke atas soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor Robert Tawik semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah November 2019.
 
WONG LANGKAB
“Bilakah kerajaan memulakan pelaksanaan pembinaan jambatan konkrit menggantikan jambatan kayu Bailey Bridge Bingkor Bypass yang amat membahayakan pengguna kerana mengalami kerosakan meski sudah dibaiki beberapa kali,” soal Robert tentang jambatan tersebut yang terletak di Kg Sasaie Bingkor.

Peter menjelaskan cadangan pembinaan jambatan di sungai Pamalan KM1.1 Jalan Bingkor Bypass telah diluluskan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas dan pelaksanaan pembinaan jambatan tersebut bermula awal 2020 ini.

Jambatan berkenaan merupakan laluan dekat di antara Pekan Keningau dan simpang empat Bingkor-Binaong yang memberi manfaat kepada kira-kira 2000 penduduk di 15 kampung.

Selain 15 kampung, turut memperoleh manfaat jambatan itu ialah warga SMK Bingkor, SK Bingkor, SK Bunsit, Klinik Kesihatan Bingkor, Pejabat LKTNS dan Korporasi Pembangunan Desa (KPD).

Jambatan ‘Bailey’ merupakan sejenis jambatan mudah alih pasang siap yang mempunyai kekuda, sebahagian besarnya dibangunkan oleh British untuk kegunaan tentera semasa Perang Dunia II.
 
MOSES SADOON
LASAWON
Wong Langkab dari Kg Sasaie menyatakan sudah sampai masanya jambatan lama diganti dengan jambatan baharu.

“Kelulusan Kerajaan Negeri membina jambatan baharu menjadi berita baik kepada kita semua,” katanya.

Wong yang tinggal kira-kira 100 meter dari jambatan itu menyambut kelulusan berkenaan dengan penuh sinar gembira dan berharap dapat dilaksanakan mengikut jadual.

Menurut Wong keadaan jambatan itu amat berisiko dan boleh menjadi perangkap maut kepada para pengguna.

Wong menceritakan pernah seorang penduduk Kg Sasaie meninggal apabila kenderaan yang dipandunya terbabas ke sungai ketika melewati jambatan berkenaan.

Di samping itu, katanya beberapa pengguna mengalami kecederaan apabila kenderaan termasuk motosikal mereka mengalami kemalangan ketika melalui jambatan itu pada waktu malam ketika hujan.

Wong berkongsi cerita, dalam tempoh sebulan pasti ada berlaku kemalangan di jambatan sehala itu, baik terlanggar tepi besi jambatan atau tergelincir di permukaan jambatan kayu yang licin.

“Tambahan pula tiada lampu jalan di kawasan berkenaan,” jelasnya.

Moses Sadoon Lasawon dari Kg Kooluaw Tandian berharap pembinaan jambatan kali ini biarlah menggunakan struktur konkrit yang kekal.

“Penggunaan struktur konkrit diharapkan dapat menghindar kemalangan serta melancarkan lalu lintas yang melibatkan kira-kira 200 kenderaan setiap hari,” katanya.

Moses seterusnya memuji kepimpinan dan kewibawaan Robert selaku ADUN Bingkor yang mengusulkan pembinaan jambatan berkenaan ketika persidangan DUN.